Wednesday 30 November 2011

Profile Of Dato' Hj Mohd Noor Ibrahim, Bekas Mufti Kelantan


Dato' Hj Mohd Noor bin Ibrahim adalah seorang ulama’ Kelantan yang terkemuka dan dianggap tokoh paling masyhur selepas Tok Kenali. Dilahirkan pada 20hb. Ogos 1905 di Kota Bharu, beliau adalah anak kepada Haji Ibrahim Yusuff, Mufti Kerajaan Kelantan antara 1928-1941. Setelah menamatkan persekolahan awalnya di Madrasah Muhammadiah, Majlis Agama Islam Kelantan, beliau melanjutkan pelajaran ugamanya di Mekah pada tahun 1923. Bidang ilmu yang beliau pelajari meliputi bukan sahaja ilmu-ilmu agama tradisional seperti usuluddin, fiqh, hadith dan tafsir, tetapi juga ilmu-ilmu falak dan qiraat. Guru-guru beliau di Mekah antara lain ialah Syaikh Hasan al-Masyath, Tok Senggora, Syeikh Nuh Jamaludin Kelantan, Syeikh Mohd. Nor Patani, Tengku Mahmud Zuhdi al-Fatani, Chek Pak Ya al-Ramani dan lain-lain. Jawatan beliau yang pertama selepas pulang ke Kelantan ialah menjadi Qadhi Besar Kelantan pada tahun 1937. Pernah memangku jawatan Mufti Khas antara 1hb. September 1941 hingga 28hb. Oktober 1944, iaitu sehingga jawatan berkenaan dihapuskan. Antara 1949 hingga pertengahan 1965, beliau menjadi guru di Jami’ Merbau al-Ismail (kemudiannya Maahad Muhammadi) dan sekaligus mengajar di Masjid Muhammadi. Selang waktu antara pertengahan 1965 hingga April 1968, beliau habiskan di Masjid Negara Kuala Lumpur, berkhidmat di Kelas Tahfiz al-Qur’an yang baru ditubuhkan sekarang (Dar-al-Qur’an) dan menyusun tafsir pimpinan ar-Rahman yang terkenal itu.Dilantik menjadi Mufti pada 1hb. Mei 1968 berikutan kematian sahabatnya Dato’ Haji Ahmad Maher. Jawatan ini beliau sandang sehingga ke akhir hayatnya pada 13hb. Februari 1987. Lebih dari seorang ulama’, beliau adalah seorang hafiz dan ahli falak yang terkenal, pun juga seorang penulis dan orang alim yang menguasai bahasa Inggeris. Kemasyhuran beliau lebih banyak terserlah dalam bidang-bidang qiraat, falak, tafsir dan usuluddin, ketimbang bidang fiqh sebagaimana layaknya seorang Mufti.

Profile Of Dato' Hj Ibrahim bin Yusoff, Bekas Mufti Kelantan

Dato' Hj Ibrahim bin Yusoff (1871-1955) atau lebih masyhur dengan panggilan “Haji Ibrahim Tok Raja”. Belia berkahwin dengan Hjh Zainab bin Osman , cicit kepada Tuan Guru Shaikh Abdul Halim Al-Yunani. Beliau juga adalah ayahanda kepada Dato’ Haji Mohd. Nor Ibrahim, ulama’ dan Mufti Kerajaan Kelantan yang masyhur pada separuh bahagian kedua abad kedua puluh.
Haji Ibrahim dilahirkan di Kampung Banggol, Kota Bharu pada 1871 dan pernah berguru kepada Tuan Guru Haji Abd. Malik Sungai Pinang sebelum menyambung belajar di Mekah dan Madinah dengan ramai tokoh-tokoh guru yang ternama, antaranya termasuklah Syeikh Hasbullah, Syeikh Abd. Rahman al-Fatani (Tok Gudang), Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau, Syeikh Ahmad Yunus Lingga, Syeikh Mohd. Zain Sumbawa, Tuan Mokhtar Bogor, Tok Wan Ali Kutan, Tok Senggora dan lain-lain.
Pada mulanya beliau menjadi guru di Madrasah Muhamadiah Majlis Ugama Islam Kelantan apabila sekolah berkenaan dibuka pada tahun 1917, sekaligus menjadi guru di Masjid Besar Kota Bharu. Pernah berdakwah ke Kemboja dan fasih berbahasa Cham.
Antara murid-muridnya termasuklah nama-nama seperti Haji Yaakub Nipah (Bachok), Haji ismail Haji Ahmad (Gok Kapur), Haji Nik Uthman Ab. Karim (Kampung Amir, Besut), Haji Harun Bin Muhamad al-Samadi (Pulau Pinang) dan Haji Wan Taib Bin Haji Wan Musa (Rantau Panjang, Kelantan). Dilantik menjadi Mufti pada awal Mac 1928, tetapi memohon bersara pada Julai 1941. Tokoh yang kerap turun naik ke Mekah dan mertua kepada Tuan Guru Haji Sulung Patani ini meninggal dunia pada malam Jumaat 2hb. Jun 1955 sewaktu berusia 84 tahun

Tuesday 29 November 2011

KITAB DARUL HASAN


Kitab Darul Hasan yang ditulis oleh Tuan Guru Haji Ahmad adalah atas permintaan Raja Kelantan. Tahun yang tercatat adalah pada 30 Ramadan 1282 H (1865 M). Manuskrip yang tersimpan di Pusat Islam Malaysia tersebut diberi nombor kelas iaitu MI 725. Belum diketahui apakah kitab Darul Hasan tersebut pernah diterbitkan oleh mana-mana penerbit di Timur Tengah mahupun di Asia Tenggara.
Namun jelas bahawa kitab Darul Hasan tidak pernah ditemui di mana-mana kedai buku di seluruh Asia Tenggara. Adapun yang berupa manuskrip berkemungkinan hanya sebuah itu sahaja naskhah mengenainya yang ditulis dengan huruf yang sangat indah. Terdiri dari tulisan hitam dan merah yang memancar terang. Keadaan manuskrip masih baik, di samping halaman dari awal hingga akhir juga dalam keadaan lengkap.
Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan memulakan karangan beliau dengan puji-pujian dan selawat sebagaimana karangan-karangan tradisi Islam lainnya. Setelah itu menyebut dengan kalimat bahasa Arab bahawa ‘Sultan Kelantan’ meminta beliau menulis kitab ini. Tetapi pada terjemahan bahasa Melayu dari lafaz bahasa Arab itu tidak menyebut ‘Sultan Kelantan’ melainkan ‘Raja Kelantan’. Tentang nama kitab pula terjadi salah titik sama ada lafaz Arab mahupun lafaz Melayu iaitu tertulis Darul Hasaat dengan huruf ta sebenarnya adalah Darul Hasan iaitu dengan huruf nun. Hal ini tertulis di halaman terakhir.
Sesudah itu dimulai dengan menceritakan pohon kayu yang bernama ‘Syajaratul Yaqin’ yang mempunyai empat cabang. Dari cerita itu diteruskan dengan kejadian ‘Nur Muhammad’ sehingga dijadikan sekalian kejadian sesudahnya. Kejadian sekelian manusia pula diceritakan berdasarkan kepada mereka yang pertama memandang kepada Nur Muhammad. Maka ada yang menjadi Sultan, menjadi alim, yang mati syahid dan lain-lain.
Kemudian diceritakan pula asal tanah kejadian Nabi Adam a.s yang diambil dari beberapa negeri di dunia, seperti kepala Nabi Adam a.s berasal dari Baitul Maqdis, muka Nabi Adam a.s berasal dari syurga, kaki Nabi Adam a.s berasal dari tanah Kalkauthar dan lain-lain.
Selanjutnya menceritakan tentang kejadian ketua-ketua para malaikat, iaitu kejadian dan keadaan malaikat Jibril, Mikail, Israfil, Izrail, dan dicantumkan beberapa hikayat malaikat Maut mencabut nyawa makhluk terutama manusia.
Cerita dilanjutkan dengan peristiwa yang menakutkan dan menakjubkan di alam kubur, di padang Mahsyar sekalian manusia memerlukan pertolongan dan syafaat yang dimulai dari menemui Saiyidul Basyar Nabi Adam a.s hingga ditutup dengan menemui Nabi Muhammad SAW. Seterusnya pula disambung dengan cerita neraka, syurga dan lain-lain.
Penutup sekali pengarangnya, Tuan Haji Ahmad Kelantan menyebut: “Telah selesai faqir ilallah Taala yang amat jahil al-Haji Ahmad bin al-Haji Yusuf bin Abdul Halim Kelantan menterjemahkan kitab Darul Hasan daripada bangsa Arab kepada bangsa Jawi supaya manfaat dengan dia sekelian mereka yang tiada tahu dengan bahasa Arab…..”.
Bahasa yang digunakan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan dalam kitab tersebut agak banyak dalam bahasa negeri Kelantan. Beliau tidak terikat untuk mengikut tatacara bahasa kitab yang digunakan tradisi zamannya. Seperti kalimat ‘bangsa’ dalam kalimat dalam penutupnya, kitab-kitab lain selain kitab beliau pasti akan menggunakan istilah ‘bahasa’ pada tempat tersebut, bukan ‘bangsa’ seperti yang beliau tulis itu. Walau bagaimanapun kitab Darul Hasan dapat diklasifikasikan sebagai sastera Sufi Islam Melayu Klasik.
Pada hari penulis selesai menulis riwayat hidup beliau di bilik Balai Pameran Islam Malaysia, penulis menyerahkan kepada pihak majalah DAKWAH, dan seterusnya ke Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Tiba-tiba di atas meja Siti Mariani (seorang kakitangan di PNM) terletak dua manuskrip.
Satu di antaranya adalah karya Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan. Dengan terdapatnya perkara baru tersebut, maka penulis tambah saja makalah yang telah selesai tadi dengan sedikit kalimat yang menerangkan perkara ini. Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan menulis di akhir hayatnya pada manuskrip milik Pusat Manuskrip Melayu yang diberi nombor kelas dengan MS 780 itu, katanya: “Telah selesai Haji Ahmad ibnu Haji Yusuf menterjemahkan daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu dengan tolong Tuhan Rabbul Izzah bijahi Saiyidina Muhammad pada 10hb Safar pada hijrah al-Nubuah 1287 H (1870 M)”.
Kandungan isi kitab nombor MS 780 Pusat Manuskrip Melayu tersebut ialah mengenai fikah. Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan memulakan perbicaraannya tentang kitab thaharah (bersuci) dan disudahi dengan kitab solat. Ditulis atas kertas warna biru muda, memakai dakwat warna hitam pada sebahagian besar isinya dan di beberapa tempat ditulis dengan warna merah. Semua huruf dalam keadaan jelas dan berwarna agak memancar.
Susunan bahasanya agak berbeza dengan karyanya yang pertama. Nampaknya pada MS 780 ini bahasanya sudah disesuaikan dengan bahasa-bahasa kitab jawi yang ditulis di zamannya. Sebagaimana karya yang pertama (Darul Hasan), maka kitab yang kedua ini juga tidak pernah diterbitkan. Selain itu judul kitab ini juga tidak dijelaskan oleh pengarangnya. 


Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah

Profile Of Tuan Guru Hj Ahmad Yusoff ( Tuan Padang 1, grandson of Sheikh Abd Halim Al-Yunani )

Dari Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah 

 

Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Muhammad Yusuf yang dikenali juga sebagai Tuan Padang 1 adalah merupakan cucu kepada Sheikh Abdul Halim Al-Yunani
Beliau dilahirkan di Kelantan, namun tempat dan tarikh lahirnya yang tepat tidak dapat dipastikan. Pun begitu, pada masa kehidupan beliau terdapat catatan yang mengatakan ia adalah sezaman dengan Sheikh Wan Ali Kutan (lahir 1253 H/1837 M atau 1235 H/1820 M). Pendidikan asasnya diperoleh daripada bapa saudaranya sendiri, iaitu Haji Yaaqob bin Sheikh Abdul Halim al-Kalantani.
Diriwayatkan pula pengetahuan yang diperoleh daripada bapa saudaranya itu bukan sahaja ilmu pengetahuan yang bersifat asas, tetapi hingga beliau diakui sebagai seorang ulama di Kelantan, dan ilmu-ilmunya tersebut diperoleh dari Haji Yaaqob sendiri. Walaupun beliau telah diakui sebagai seorang ulama di Kelantan, namun beliau masih juga meneruskan pelajarannya ke Mekah sebagai pengesahan daripada ulama-ulama Mekah pada zamannya.
Sebagaimana yang dapat dicatat, teman-teman beliau ketika kecil yang sama-sama belajar kepada Tuan Guru Haji Yaaqob adalah seperti berikut; saudara beliau sendiri iaitu Haji Uthman bin Haji Muhammad Yusuf, Sheikh Wan Ali bin Abdul Rahman Kutan, Sheikh Abdul Mutalib Kuta, Haji Wan Abdul Rahman bin Wan Sulaiman dan lain-lain. Semua sahabat beliau yang tersebut adalah ulama-ulama besar Kelantan yang sangat berperanan dan berpengaruh di zaman mereka. 
Adapun ilmu-ilmu yang telah dikaji, yang dapat diketahui adalah ilmu tauhid, fikah, tasauf, nahu, saraf, bayan, ma’ani, badi’, arut, qawafi, mantiq, tafsir, tajwid dan lain-lain. Ilmu-ilmu tersebut telah dikuasai sejak di Kelantan lagi. Belajar di Mekah hanya untuk mendalami lagi pengetahuan beliau terhadap ilmu-ilmu tersebut. 
Para guru beliau di Mekah yang dapat dicatat antara lain ialah, Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Adapun guru beliau selain yang tersebut tidak dapat diketahui dengan pasti. Ada kemungkinan semua guru kepada Sheikh Wan Ali Kutan adalah juga guru kepada Tuan Haji Ahmad Kelantan ini.
Karya penulisan Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan yang diketahui hanya dua sahaja. Karya yang merupakan manuskrip asli tulisan tangan beliau itu tersimpan di Pusat Islam Malaysia di Bahagian Balai Pameran. Judul kitab tersebut adalah Darul Hasan.
Beliau ialah sebagai generasi penerus, yang menyambung pekerjaan datuknya, Sheikh Abdul Halim dan bapa saudaranya Haji Yaaqob bin Abdul Halim dalam mengajar ilmu-ilmu yang diperlukan oleh masyarakat Islam di Kelantan. Ilmu-ilmu yang wajib dipelajari ialah usuluddin, fikah dan tasauf.
Tiga ilmu tersebut berkembang di kalangan masyarakat dan diteruskan pula oleh murid-murid beliau yang boleh dikatakan sangat ramai. Antaranya Tok Kenali, diriwayatkan bahawa sebelum beliau melanjutkan pelajarannya ke Mekah, beliau pernah belajar dengan Tuan Guru Haji Ahmad ini. Pada zamannya, Tuan Guru Haji Ahmad dalam membina umat Islam kearah berilmu pengetahuan dan amal saling bekerjasama dengan sahabatnya Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Sulaiman, yang menjadi Perdana Menteri Kelantan (Menteri Besar menurut istilah sekarang) pada ketika itu.
Dari keterangan tersebut, kedua ulama Kelantan tersebut telah berhasil menyatupadukan kerjasama yang serasi antara umara (golongan pemerintah) dan ulama (golongan ahli ilmu pengetahuan dalam Islam). 
Salah seorang anak beliau, Tuan Guru Hj Taib Ahmad yang juga dikenali sebagai Tuan Padang 2 adalah sebagai generasi penerus yang menyambung pekerjaan bapanya . 
Demikianlah riwayat ringkas Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Yusuf Kelantan. Sejarah asal-usulnya, pendidikannya, karyanya dan pengaruhnya di kalangan lingkungan istana dan masyarakat Kelantan. Namun sebagaimana tarikh lahirnya, tahun wafatnya juga masih belum diketahui dengan pasti, yang masih memerlukan penyelidikan lebih mendalam untuk melengkapkan sejarah ulama ini

Profile Of Shaikh Abdul Halim Al-Yunani

Berasal dari China. Sheikh Abdul Halim atau Tan (nama Chinanya) adalah anak angkat kepada Long Yunus (Sultan Kelantan). Long Yunus memperoleh anak angkat tersebut daripada salah seorang sahabatnya seorang peniaga Cina sebagai hadiah dan tanda persahabatan dengan sultan.
Long Yunus menghantar Abdul Halim bersama-sama putera baginda belajar ke Mekah. Ada yang menceritakan kejadian tersebut semasa dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani belajar di Mekah.
Tetapi ada yang meriwayatkan bahawa Abdul Halim dan putera Long Yunus menjadi murid kepada Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Setelah mendapat gelaran ulama, Sheikh Abdul Halim pulang ke Kelantan. Beliau adalah orang pertama mengajar menggunakan sistem pondok dengan kaedah Patani di Kelantan.
Beliau mempunyai dua anak iaitu Haji Muhammad Yusuf dan Haji Yaaqob. Haji Muhammad Yusuf ialah ahli dalam bidang seni bina dan seni suara manakala Haji Yaaqob pula adalah seorang ulama yang mengajar sebagai pengganti ayahnya. Haji Muhammad Yusuf memperoleh anak bernama Tuan Guru Haji Ahmad dan Tuan Guru Hj Osman.
Menurut sumber-sumber yang boleh dipercayai, pendidikan Islam di Kelantan telah bermula pada akhir abad ke 18.Orang yang paling awal menyampaikan pendidikan Islam ialah Sheikh Abdul Halim. Beliau mengajar di istana-istana untuk anak-anak raja dan di surau-surau untuk orang ramai .+Murid-muridnya terdiri dari penduduk tempatan negeri Kelantan dan ada juga yang datang dari luar Kelantan bahkan dari luar Tanah Melayu seperti Thailand.Pernah menjadi penasihat/guru ugama di Istana semasa pemerintahan Sultan Muhamad 1. Dipercayai sebagai pengasas pendidikan islam dinegeri Kelantan